Bismillahirrahmanirrahim
10 Rabi'ul Akhir 1435
10 Februari 2014
Isnin
Seminggu dua ini, kami sekeluarga sedang bermujahadah dengan ujian dari Allah.
Rentetan mak tak sihat pada awal Januari lepas membawa kepada ditahan di wad. Ayat ringkas tadi rupanya tidaklah semudah yang dibaca. Panjang jalan dan cerita untuk membolehkan mak ditahan di hospital.
Mak batuk lama, membawa kepada sesak nafas, tidak bermaya dan sebagainya. Tambahan pula ada luka di kakinya yang mak sukar untuk tunjukkan kepada sesiapa pun kerana risau di bawa ke hospital. Ya, mak sangat tidak suka hospital (yela siapa yang suka kan?), tapi ketakutan mak adalah sangat tinggi. Seorang anak mak alhamdulillah berjaya menjadi doktor kelulusan australia, tapi itupun dengan harapan beliau hanya mendapat diagnos dan rawatan di rumah tanpa perlu ke hospital.
Hakikatnya, apabila anak menjadi doktor, dia seolah-olah menjadi milik masyarakat. Kerja kadangkala hampir 24jam. Orang rumah juga doktor, dengan masa masing-masing amat sikit untuk keluarga sendiri, apatah lagi dengan mak bapak. Tapi dengan keengganan si mak mendapatkan rawatan di hospital seperti yang digesa, turut juga membuatkan si anak terasa hati, mengapakah beliau belajar susah, sekarang kehidupan yang sukar terutamanya dari segi masa, semuanya padanya untuk menghormati kehendak si mak, tapi bila pendapatnya diutarakan, tidak pula diterima. Itulah antara konflik awal.
Ummi suarakan juga pada ayah akan kerisauan melihat luka mak yang tidak mendapat rawatan sewajarnya. Si ayah pun menghubungi adiknya si doktor tadi menyuarakan kebimbangan. Pabila di beritahu simptom-simptom sakit mak, iaitulah semput, tidak dapat tidur malam, lapar tengah malam, ada luka yang dibimbangi telah bernanah, beliau terus panik hendak mengambil terus si mak yang di jementah pada ketika tengah malam tu juga. Beliau risaukan jangkitan kuman yang mungkin menyerang jantung mak.
Setelah beberapa episod 'drama', mak setuju ke hospital. Tetapi bersyarat. Mak mahu dapatkan 'rawatan' daripada man, tabib melaka. Uniknya man ini, diagnos penyakit dan ubatnya tiada sebarang alat. Semuanya 'ghaib'. Bayangkan pembedahan, cucuk pesakit, cari fail pesakit, menekan komputer riba, semuanya dilakukan secara 'ghaib'. Allahuakbar. Ayah yang menemani mak ke tempat rawatan pabila tahu kaedah rawatan dari pesakit2 lain, dengan izin Allah rasa sangat tak tenang. Pesakit man sangat ramai kerana kaedahnya memerlukan pesakit berterusan bergantung dengannya. Walaupun percuma. Mungkin ada perubatan islam sedemikian, tapi dengan pakaiannya yang hanya bertopi pusing belakang, 'vest' dan seluar jeans, tambahan pula kaedah rawatan yang tak kedengaran 'Bismillah dan InsyaAllah' menambahkan kerisauan ayah. Akhirnya ayah suarakan juga ketidaksenangan hatinya kepada mak, hanya untuk mendapat cercaan dan 'ceramah' dari adik mak (yang membawanya) dan orang-orang sekeliling yang 'obses' dengan man. Ummi bersyukur, walaupun keadaan ayah yang sangat sukar, berseorangan, beliau mampu menyuarakan rasa hati, yang kemudiannya menyebabkan beliau sendiri menangis kerana ditempelak orang, termasuklah mak. InsyaAllah ayah, Allah bersamamu.
Kemudiannya mak pergi ke hospital.
Dari hari selasa lepas, 04 Rabiulakhir 1435, sehingga hari ini, 10 rabiulakhir 1435. Hampir seminggu dan akan bertambah lagi beberapa hari.
Awalnya mak dijadualkan menjalani sedikit pembedahan kecil di kakinya untuk membuang kulit mati dan membersihkan luka. Tetapi makin hari makin banyak penyakit yang di beritakan doktor. Diabetes, darah tinggi yang terlalu tinggi (ada juga kerana mak tertekan tinggal di hospital), sedikit protein di buah pinggang, katarak, kelenjar di leher dan pelbagai lagi. Sehingga masuk ke bilik pembedahan, tekanan darah mak naik sehingga 200/120. Tinggi!..Tidak jadi pembedahan mak dikeluarkan dan diberi pelbagai ubat darah tinggi, sehingga ada yang doktor si anak mak yang terpaksa menolaknya. Bimbang badan mak tak mampu terima.
Sekarang mak dimasukkan ubat cair darah yang dengan izin Allah menurunkan darah tingginya. Tetapi masih tidak boleh menjalani pembedahan kecil tersebut sebab bimbang pendarahan melampau. Terpaksa mak tunggu lagi beberapa hari.
Mak makin tertekan dan perwatakannya berubah. Tidak banyak cakap, marah-marah, dan mula bercakap tentang perkara-perkara yang tak sepatutnya.
Mungkin juga mak perlu keluar. Tetapi pada pandangan doktor si anak mak, apa yang beliau risaukan adalah jantung mak. Sebab hasil pemeriksaan menunjukkan mak pernah terkena serangan jantung. Jadi, terpaksalah mak berkampung lagi di hospital. Mungkin apa yang kita tunggu adalah hasil pemeriksaan teliti jantung mak. Harap dan doa tiada apa yang kritikal.
Rentetan lagi dengan kesibukan kami, teratak kita memang tunggang terbalik kerana beberapa minggu kerja-kerja rumah tertangguh. Ummi hanya sempat membasuh dan menyidai baju apa yang terdaya.
Kesimpulan ummi buat sendiri :-
1. Segala peristiwa yang terjadi di dalam hidup kita adalah dengan kehendak Allah.
2. Apa dugaan yang menimpa mak, hakikatnya adalah ujian untuk anak-anak dan orang sekeliling jua.
3. Ummi tenangkan ayah, ayat Allah, "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).Mungkin dengan ujian2 ini menandakan Allah sedang memperhatikan kita? Alangkah untungnya jika sedemikian keadaannya? Seperti kerisauan Khalifah Umar al-Khattab, jika sehari berlalu tanpa ujian dari Allah, merintih beliau.."Allah..adakah Kau melupakan aku?"
4. Jom kita sentiasa bersangka baik dengan Allah dalam apa jua keadaan. Tingkatkan kesabaran, tingkatkan usaha..
4. Jom kita sentiasa bersangka baik dengan Allah dalam apa jua keadaan. Tingkatkan kesabaran, tingkatkan usaha..
Update harini, 11 Rabi'ulakhir 1435, mak dah boleh keluar wad.
Perancangan asal ialah membawa mak bersama kami, dengan harapan boleh dibawa ke ustaz, bimbang ada 'apa-apa' yang man dah masukkan ke dalam badan mak. Dan boleh juga kami usahakan rawatan alternatif untuk mak.
Tetapi bak kata ayah, bila kita berada di sekitar mak, seolah2 mak jadi lemah dan tak banyak cakap, termasuk bila dipasang ruqyah. Harini kami langsung tidak ke sana, cuma bertanya khabar melalui telefon, kedengaran suara mak ceria dan semakin sihat. Dan paling terbaru, mak 'menolak secara baik' untuk datang berubat di sini, sebaliknya beliau hendak terus berubat dengan man. Allahualam.
Cara perubatan si tabib Man
1. Segala 'peralatan'nya ghaib termasuklah picagari, laptop, pisau bedah, ubat campur dalam air.
2. Kos rawatan adalah percuma. (tetapi bak kata pesakitnya, kalau prosedur luar menelan belanja ribuan ringgit, takkan nak bagi kat si man ni seratus dua ratus?)
3. Pesakit perlu sentiasa ber'ansur'/mengulang ubat dengannya. Ada seorang pakcik yang 'berjaya' mengelak pembedahan dengan hanya berjumpa man selama hampir 10 tahun!
4. Tiada kedengaran Bismillah di awal pengubatan.
5. Tiada juga ayat seperti,"saya hanya berusaha, Allah juga yang tentukan, insyaAllah jika dia mengkehendaki, sembuhlah." Ayatnya semua kedengaran yakin sembuh.
6. Jika tidak boleh datang secara berkala, gambar pesakit diperlukan.
7. Tiada tergantung sebarang ayat Quran, hanya perkataan 'Assalammualaikum' di muka pintu.
8. Katanya beliau mendapat kelulusan Jakim/Jais. Allahualam.
Kita berusaha, berikhtiar, berdoa. Allah tentukan segalanya. Cuma jangan pernah berputus asa dari RahmatNya. Semoga terpelihara akidah kita semua dengan sebenar-benar mentauhidkan Allah dalam segenap aspek kehidupan kita. Ameenn...
Rumah tabib Man
|