Pages

Rabu, 14 September 2011

Al-Fatihah~

Artikel dibawah adalah kisah benar yang dilalui oleh seorang sahabat di tempat kerja.. Atas niat beliau untuk dikongsi, saya telah masukkan nukilan ini di dalam entry kali ni...Jazakallah~

"Setelah 4 tahun aku simpan tulisan ini.. hari ini aku ambil keputusan untuk ianya dikongsi bersama....

hmm.. malam tu aku memang tau yg abah memang ada kat KL.. semalam dia ada call aku, bagitahu yang dia dah sampai kat KL. bermalam kat Hilton, KL Sentral katanya.. so, aku bagitahu dia, aku datang jumpa dia kat sana la esok.. dalam pukul 8.30 camtu, aku dapat sms dari abah. "abah abis majlis pukul 11". aku pun balas "ok la, nanti pukul 11 org datang". sebenarnya, abah memang tahu aku nak jumpa dia malam nie. aku nak ambik camera dari dia. esok malam aku dah nak berangkat ke jepun, kena la bawak camera. maklumlah, bukan senang anak kampung yg macam aku ni nak dapat peluang ke jepun. mungkin, sekali seumur hidup aku dapat jejakkan kaki ke negara yang penah jajah tanah air aku dulu.

jam menunjukkan pukul 10.30. hmm.. aku rasa boleh la aku gerak ni. takpe la awal sikit sampai Hilton. duduk2 dulu ape salahnya. akupun drive la ke sana sorang2. sebaik saja aku nak masuk carpark kat hotel tu, ade 2 org polis tahan kereta aku. diorang suruh bukak bonet belakang kereta. tertanya2 aku kenapa ek? ada sesiapa nak bom ke hotel ni? atau dah memang prosedure hotel camni? maklumlah.. tu lah kali pertama aku pegi hotel tu. tak sampai seminit, polis tu kata kat aku, "ok, jalan". aku pun tak mau buang masa, terus tekan paddle minyak masuk ke parking area.

setelah aku kunci kereta aku, aku pun berjalan sambil mencari arah untuk ke lobi hotel. sampai je kat lobi, terkejut aku tengok. org kat dalam tu semua dressup smart2. aku sorang je rasanye yang berseluar jean. hmm, segan aku.. baik aku cari tempat duduk cepat2. tak lah orang notice sangat. rupanya, malam tu ada majlis sambutan ulang tahun FELDA yang ke 50. patut la orang kat situ pakai smart2. patutla ade polis tahan kereta aku tadi... patutla abah bermalam kat sini.. setahu aku, abah tak pernah ke hotel ni.. selalunya dia duduk kat CityVilla dekat area2 balai bomba chowkit tu. memang dari dulu pun dia duduk kat situ tiap kali datang ke Kuala Lumpur. seingat aku dari umur aku 5 tahun, abah selalu bawak aku ke Kuala lumpur. dan hotel itulah yang sentiasa menjadi pilihan abah untuk kami anak beranak bermalam.

setelah ku temui tempat duduk kat lobi, aku terus duduk.. buat muka selamba aja.. hmm, duduk kejaplah. tengok gelagat org2 kota yang lalu lalang kat situ. tak sampai 5 minit, tetiba aku nampak seseorang lalu.. macam kenal je.. oh, rupanya TPM kita, dato' Najib. First time aku tengok dia depan mata, selalu nampak kat TV je. Dari gaya nya, macam dah nak balik. hmm.. betullah, dia terus je lalu sebelah aku dan terus je ke keretanya.. ramai jugak bodyguard dia.. tapi, apesal semua kurus2 je.. hmm.. biarlah. teringat aku kat abah, aku pun capai handphone aku, terus ku dail no abah. "hello, abah.. bah, orang dah sampai ni.. orang kat lobi.. ade kat tempat duduk ni.. haa.. ok la.. bye". abah kata, kejap lagi dia datang. tak lama lepas tu, aku nampak abah dari jauh berjalan ke arahku.. hmm.. segak bergaya seperti biasanya. Dengan baju batiknya, berseluar dan berkasut hitam. mesti seluar ni mak yang gosokkan. memang selalu mak lah yang gosokkan baju abah tiap kali abah nak kemana2. walau bagaimana pun keadaannya, tak kira sakit atau tidak, mak tetap akan menjaga pakaian abah. itulah setia dah kasihnya seorang isteri kepada suami. dalam keluarga pun, memang pada aku abah lah yang paling segak sekali. tapi, kenapa abah dah macam kurus sikit malam ni?

sampai je abah kat aku, aku terus salam tangan dia. terus aku tanya dia, "majlis dah abih ke bah?". dah abih dah balasnya. aku terus ajak abah duduk. dia pun duduk depan aku. pastu aku yang masih blur ni tanya abah, majlis apa yang disambut malam ni. abah kata sambutan 50 tahun felda. betul sangkaan aku. katanya lagi, tadi diorang semua pegi tengok filem 'BILUT'. filem yang mengisahkan kehidupan masyarakat awal felda iaitu felda pertama kat malaysia, Felda Lurah Bilut, Raub. sambung abah lagi, ceritanya sedih. kemudian abah terus menyeluk sakunya. dikeluarkan kamera yang aku pesan haritu. terus dihulurkannya kepada aku sambil berseloroh.. "nak pakai ke kamera ni?" sambil mukanya tersenyum memandang, aku menjawab, "haĆ”". masing2 tersenyum. tergelak kecil aku tengok abah aku ni. maklumlah, kamera kodak pesen lama, mana ada orang pakai lagi. sekarang nie, semua pakai kamera digital. lepas tu kami pun terdiam seketika. memang biasa berlaku sebab abah ni seorang yang pendiam dan tak banyak cakap.

memang dari aku kecik lagi, abah memang pendiam orangnya. tak banyak cakap. dia hanya bercakap bila perlu. dan yang paling aku sanjung abah aku ni sebab sifat penyabarnya yang sangat2 tebal. susah nak percaya, dari kecik sampai la besar ni, aku tak penah tengok abah marah sesiapa pun. Pakcik aku (adik abah) pernah cerita dengan aku yang dia pernah kena marah dengan abah dulu. Itulah sekali je seumur hidup dia. dengan anak2 pun dia tak penah nak marah. orangnya cukup penyabar. sepanjang hidup aku, dialah orang paling sabar yang aku pernah jumpa. sifat sabar yang ada pada dia membuatkan aku adik beradik segan dengan dia. segan nak buat benda2 tak elok, segan nak memalukan dia , segan nak minta apa2 dari dia. sebab tu lah dari kecik sampai besar, kalau aku nak apa2, aku mesti minta dengan mak aku.

lepastu abah mencapai walletnya lalu mengeluarkan sekeping not 100 US dollar, lalu diberikannya pada aku. "nah, ambilla ni, abah tak sempat ke bank nak cucuk duit tadi, belila apa2 kat jepun tu". Abah memang banyak not2 macam tu. tiap kali dia ke luar negara, jarang sekali dia tukar duit luar ke ringgit balik. untuk kenang2an katanya. aku pun ambil duit tu sambil bertanya kalau abah nak apa2 tak dari jepun. kemudian abah tanya aku, apa yang ada kat sana? sambil tersenyum aku jawab, "ntah, orang pun tak tahu". tergelak kami dua beranak kat lobi hotel tu. sambil berborak2, tiba2 aku teringat, mungkin abah nak masuk ke majlis semula, mungkin nak jumpa kawan2nya. jadi aku pun minta diri nak pulang. sambil tu aku tanya apa dia buat lepas nie. katanya ade kawan dia ajak pegi mengeteh malam ni. "mengeteh", istilah yang org gunakan untuk lepak2 minum teh malam2. dia kata dia tengah tunggu kawannya datang. rasa kesian pulak kat abah tunggu sorang2 kat lobi, aku pun duduk semula. baik aku temankan abah kejap kat situ sementara kawan dia sampai.

abah memang ramai kawan. hampir kebanyakan kawan dia aku tak kenal. maklumlah, orang politik. abah aku ni memang minat politik. minat yang mendalam dlm bidang politik membuatkan abah ada ramai kenalan dan sentiasa sibuk. Tiap2 tahun, abah akan ke PWTC untuk menyertai Perhimpunan Agung Umno. masih lagi aku ingat, daripada sebagai ahli biasa, kemudian sebagai pemerhati sampailah abah jadi perwakilan. begitulah setianya abah pada parti. dengan jawatan yang pelbagai2, abah adalah tempat org kampung meluahkan masalah dan bermacam2 lagi. aku ingat lagi, kadang2 bila dia pulang dari kerja dlm keadaan penat, dia selalu tidur kat sofa biru depan tv tu. kami sekeluarga tahu, kalau dia tidur kat situ, maknanya dia penat sangat la tu sebab abah jarang tidur siang. samela macam aku. baru je tido tak sampai setengah jam, ade dah org kampung datang nak jumpa dengan dia. alahai, org tua tu baru je nak lelap. serba salah aku dibuatnya bila nak kejutkan dia. rasa kesian sangat kat dia. tapi tiap kali abah dikejutkan, dia tak penah nak merungut ataupun komplen. hampir 30 tahun hidup dlm keadaan macam tu, tak pernah tercebis dari mulut dia rasa putus asa dan penat.

Tak lama lepas tu, kawan dia pun sampai. terus ku bangun dan salam kawan dia tu. abah bagitahu dia, "anak", sambil menunding ke arah aku. memaklumkan kawan dia tu yang aku ni anak abah. memang ramai kawan2 dia yang aku tak kenal dan ramai juga kawan dia yang dah kenal dengan keluarga aku tetapi masih tak kenal aku. maklumlah, dari kecik masa sekolah dulu aku dah duduk di asrama sampailah aku bekerja di KL ni. kemudian abah berseloroh dengan kawannya, "budak ni nak pegi JAPANG". Japang adalah istilah yang orang jawa gunakan untuk negara jepun. sememangnya, kami anak beranak ni memang jawa. tambah pula, kawan dia tu pun memang jawa. kami bertiga tergelak kat situ seketika. kemudian kami bertiga berjalan ke arah lift yang akan membawa kami ke parking area. setelah aku masuk kedalam lift itu, aku tekan butang P3 sambil abah tekan P5. sampai saja ke aras P3, aku pun minta izin dengan abah untuk beredar. sambil aku kata, "ok bah, jalan dulu". "ye lah, jalan elok2", pesan abah ringkas, seperti selalunya. setelah aku keluar dari lift itu, aku pun terus beredar dari situ. masa aku nak keluar dari parking area tu, mata aku masih melilau tercari2 jikalau aku boleh bertembung dengan kereta abah. entah kenapa, hatiku nak sangat bertembung dengan dia lagi. walaubagaimanapun, hajat aku itu tak kesampaian lalu aku terus beredar pulang ke rumah.

kini aku sedar yang pertemuan singkat aku dengan abah hari itu adalah buat kali yang terakhir untuk aku bersemuka dengan abah. seminggu selepas itu, hari yang sama aku pulang dari Jepun, abah kembali ke rahmatullah meninggalkan kami sekeluarga. jatuh mengalir air mata ini bila teringatkan jam tangan dan baju yang kubeli untuk ku hadiahkan pada abah tak sempat untuk ku berikan padanya. apa yang boleh kuberikan kini hanya doa agar roh abah sentiasa dilindungi dan dirahmati oleh Allah. Amin. Al-fatihah.."

....bersama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada bapa beliau yang telah kembali ke rahmatullah pada 22/07/2006...al- Fatihah~...

1 ulasan:

  1. Nama macam x bagi didedahkan..hahaha...sedekah je la fatihah kepada umat muslimin yang dah pergi mendahului kita...al-Fatihah~

    BalasPadam